PM tekad terus lakukan islah, strategi Rasulullah jadi rujukan

Foto FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau akan terus berusaha melakukan perubahan dan islah terhadap negara dengan menjadikan strategi Rasulullah SAW sebagai rujukan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengalaman Madinah menekankan keadilan, ihsan dan perpaduan bagi membentuk masyarakat matang dalam akhlak dan pemikiran.
  • Perpaduan Ansar meleraikan perseteruan Aus dan Khazraj, mewujudkan kestabilan dan menghapuskan rasa curiga antara kaum.
  • Jaminan keperluan asas serta keamanan menjadi asas penting dalam membina kehidupan masyarakat sejahtera.
  • Pendekatan Madinah prihatin kepada golongan miskin, memberi ruang kepada kelompok berbeza dan menolak monopoli demi ekonomi saksama.

Menerusi hantaran di media sosial sempena Sambutan Maulidur Rasul, beliau mengaitkan usaha itu dengan cabaran membangunkan Malaysia sebagai sebuah negara majmuk pada masa kini.

“Tentunya tidak mudah membangunkan sebuah negara majmuk di Asia Tenggara pada abad ke-21 ini dengan segala kemelut dan simpang-siur politiknya.

“Namun kita akan terus berusaha, selagi kudrat dan masa masih tersisa, bagi melakukan perubahan dan islah menggunakan kuasa yang diamanahkan Allah SWT,” katanya.

Datuk Seri Anwar turut mengimbau sirah Nabi Muhammad SAW dalam membangunkan Madinah selepas melalui usaha islah selama sedekad.

Menurutnya, Madinah dibangunkan dengan tatanan adil dan ihsan sehingga membentuk masyarakat yang memiliki akal budi, akhlak tinggi, kesedaran ketuhanan serta kematangan sosial.

Beliau turut mengingatkan bagaimana pertembungan antara Aus dan Khazraj berjaya dileburkan dalam semangat perpaduan Ansar demi kestabilan serta menghapuskan curiga dan kegelisahan kaum yang menghambat kemajuan.

Jelas Perdana Menteri, jaminan terhadap keperluan asas dan keamanan merupakan antara perkara penting dalam memastikan kesejahteraan masyarakat.

Di Madinah, katanya, golongan miskin dibantu, yang lemah disantuni dan kelompok berbeza diberi ruang, manakala amalan monopoli disingkir demi pemerataan ekonomi yang lebih saksama.

Beliau turut berharap Allah SWT terus memberkati tanah air serta merahmati rakyat dengan kasih sayang dan rezeki yang berkat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.