KUCHING, 13 April- Masyarakat diseru untuk bersama-sama memikul tanggungjawab dalam menangani isu masalah sosial yang semakin membimbangkan, khususnya melibatkan generasi muda.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata pihaknya menerima banyak aduan berkaitan masalah sosial membabitkan kanak-kanak yang tular di media sosial.
Menurutnya, kebanyakan kes tersebut berlaku dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah, selain turut melibatkan persekitaran sekolah dan komuniti setempat.
“Antara punca yang dikenal pasti termasuklah pendedahan kepada kandungan tidak sesuai seperti video berunsur lucah di platform media sosial yang akhirnya mencetuskan kejadian seperti pencabulan kanak-kanak,” jelasnya.
Justeru, beliau menekankan peranan penting golongan dewasa terutamanya ibu bapa dalam memantau dan mengawal akses kandungan dalam talian yang boleh mempengaruhi tingkah laku anak-anak.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2025 Jalinan Kasih Syawal Pantai Damai anjuran Kejiranan Mesra N.4 Pantai Damai di Kampung Rampangi, malam Sabtu.
Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi turut memuji semangat komuniti yang ditunjukkan menerusi penyertaan aktif dalam aktiviti bertuntong.
Katanya, permainan tradisional tersebut bukan sahaja menghidupkan suasana nostalgia, malah mampu mengeratkan hubungan kejiranan dalam komuniti setempat.
Turut hadir, Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Datuk Hilmy Othman.