fb fb fb fb fb

Masyarakat Orang Asli di Gua Musang semakin bimbang, Pak Belang muncul lagi


GUA MUSANG, 11 Januari- Kebimbangan masyarakat Orang Asli di kawasan pedalaman Gua Musang, Kelantan dengan ancaman harimau semakin meningkat apabila kelibat "pak belang" dilihat berada di Kampung Perawas, Pos Balar.

Dalam kejadian pukul 3 petang Isnin, kelibat seekor harimau belang yang berada di luar pagar Sekolah Kebangsaan (SK) Balar berjaya dirakam oleh seorang guru sekolah itu.

Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima aduan terbaharu berkaitan harimau belang daripada penduduk Pos Balar, semalam.

Bagaimanapun katanya, pihaknya masih belum dapat memastikan kelibat harimau belang itu adalah kumpulan sama dengan harimau yang mengancam penduduk di Pos Bihai.

Menurutnya, anggota Perhilitan telah ke perkampungan itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Sebelum ini, RTM melaporkan ancaman harimau belang menghantui penduduk kampung Orang Asli suku kaum Temiar di Pos Bihai sejak sebulan lalu.

Pada Jumaat lalu, seorang lelaki Orang Asli, Anek Along, 59 tahun, ditemui mati selepas dibaham seekor harimau belang di Kampung Sau, Pos Bihai.

Kejadian itu berlaku ketika sambutan perayaan menuai padi dan menangkap ikan sungai masyarakat Orang Asli suku kaum Temiar di kawasan itu.

Media Baharu