
KUALA LUMPUR, 3 Mac – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan merasmikan Masjid Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Sultan Ibrahim, hari ini.
- Masjid bernilai RM16 juta, siap sepenuhnya pada Jun 2024.
- Dibina di atas tapak seluas dua ekar.
- Penamaan sempena Sultan Ibrahim sebagai penghargaan dan pengiktirafan peranan Baginda.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda pada pukul 7.00 malam diiringi Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman serta Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar.
Ketibaan Seri Paduka Baginda disambut Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Masjid bernilai RM16 juta itu mula dibina pada Mei 2022 dan siap sepenuhnya pada Jun 2024.
Dibina di atas tapak seluas dua ekar, masjid berkenaan mampu menampung sehingga 3,500 jemaah pada satu-satu masa, sekali gus menyediakan kemudahan ibadah yang lebih selesa kepada warga kampus dan komuniti setempat.
Penamaan Masjid UPNM Sultan Ibrahim adalah bersempena nama Seri Paduka Baginda selaras dengan kedudukan Baginda sebagai Ketua Agama Islam bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan, di samping menzahirkan penghargaan terhadap kepimpinan dan keperibadian Baginda dalam menerajui negara.