ALOR GAJAH, 21 September - Masjid lama Machap yang berusia 100 tahun akan dibaik pulih menerusi peruntukan sebanyak RM250,000 daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya, Ngwe Hee Sem berkata, masjid itu yang telah diwartakan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2006 (Akta 645) oleh Jabatan Warisan Negara adalah antara tarikan baharu sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
"Memang tempat ini dulu sebelum jadi empangan dia ada kampung, kampung baru lah, selepas jadi empangan semua pemilik rumah di sini sudah dipindahkan ke Kampung Baru Machap Umbu.
"Apabila hendak bina masjid lama ini dapat banyak penyumbang dari kaum Tiong Hua lah untuk sumbangan untuk bina masjid lama ini," katanya kepada pemberita selepas meninjau Masjid Lama Machap, di sini.
Tambah Hee Sem, masjid berkenaan memiliki seni bina yang istimewa, berunsurkan Islam selain menyentuh konsep perpaduan Melayu dan Tiong Hua.