(Pemeteraian MoA disempurnakan Pro Naib Canselor Strategi dan Pembangunan Korporat UKM, Prof
Datuk Dr Roslee Rajikan bagi pihak UKM, manakala MPOGCF diwakili pemangku Pengurus Besarnya, Hairulazim Mahmud)
KUALA LUMPUR, 21 September- Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memeterai memorandum perjanjian (MoA) dengan Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) bagi penyelidikan mengenai konflik antara manusia dan hidupan liar terutamanya di ladang kelapa sawit.
Pemeteraian MoA berkenaan disempurnakan Pro Naib Canselor Strategi dan Pembangunan Korporat UKM Prof Datuk Dr Roslee Rajikan bagi pihak UKM, manakala MPOGCF diwakili pemangku Pengurus Besar MPOGCF Hairulazim Mahmud.
Roslee berkata melalui MoA itu, UKM menerima geran penyelidikan sebanyak RM 229,000 bagi melakukan kajian di ladang kelapa sawit di Pahang, Johor, Perak dan Sabah selama tiga tahun bermula 1 Oktober.
"Ini amat penting terutamanya apabila seperti yang kita tahu industri sawit kita sering menjadi tumpuan dan ia sering dikaitkan dgn isu biodiversiti dan hidupan liar. Kita juga ingin melihat bahawa di sebalik pembangunan yang ada kita terus memberi perhatian yang serius kepada biodiversiti, alam sekitar dan hidupan liar yang ada di negara kita," katanya.
(Pro Naib Canselor Strategi dan Pembangunan Korporat UKM, Prof Datuk Dr Roslee Rajikan)
Tambahnya, kajian itu juga menumpukan analisis cabaran kewujudan bersama manusia-hidupan liar dan mewujudkan kaedah perladangan mesra hidupan liar dalam meminimumkan konflik berkenaan.
Sementara itu, Ahli Lembaga Pemegang Amanah MPOGCF, Datuk Abdul Rasyid Idris yang menyaksikan pemeteraian MoA tersebut berkata setakat ini, pihaknya telah mengadakan empat kerjasama dengan UKM, Universiti Malaysia Sarawak dan Universiti Malaysia Sabah yang melibatkan kajian biodiversiti di ladang sawit dan hidupan liar.