IPOH, 14 Mei- Semua masjid di Perak akan diarahkan untuk melaksanakan solat sunat Istisqa sebagai usaha memohon hujan, berikutan cuaca panas melampau yang melanda negara ketika ini.
Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Harith Fadzilah Abdul Halim berkata surat arahan mengenai perkara tersebut akan diedarkan kepada semua masjid di negeri itu dalam masa terdekat.
"Saya akan keluarkan memo, seluruh masjid akan buat Insya-Allah, sebab tatacara solat Istisqa ini tidak sama seperti sembahyang biasa, kena di tengah padang, di kawasan yang lapang, dengan pakaian yang tidak menunjukkan mereka gembira, menunjukkan pakaian yang agak lusuh.
"Mungkin kita arahkan esok saya akan keluarkan surat dan kalau pada hari Selasa atau Rabu ini keadaan cuaca masih lagi panas melampau, kita akan teruskan solat itu sebaik-baiknya Jumaat ini," katanya.
(Harith Fadzilah ditemui media pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri JAIPk
di Masjid Muhammadiah (Masjid Cina), di sini hari ini)
Dalam perkembangan berasingan, pihaknya akan menjalankan siasatan terperinci berhubung dakwaan sebuah rumah lama di Bagan Serai, yang dipercayai menjadi tempat pemujaan nombor ekor.
Jelas beliau, JAIPK setakat ini masih belum menerima laporan berhubung kejadian tersebut dan tindakan segera akan diambil sekiranya terdapat aktiviti yang meragukan berlaku di kawasan itu.