fb fb fb fb fb

Masjid berperanan pupuk rakyat bermentaliti kelas pertama- Pemangku Raja Perlis

FOTO ISTANA ARAU

PAUH, 31 Mei- Kesemua 101 masjid di Perlis disaran menjadi lambang syiar agama Islam dan mengangkat sunnah Rasulullah SAW sebagai mana pegangan utama negeri ini.

Selain itu, Jawatankuasa Kariah dan agensi-agensi agama hendaklah memastikan majlis-majlis ilmu diatur dan diseimbangkan pengisiannya mencakupi bidang-bidang penting dalam agama seperti aqidah, ibadah, akhlak dan sebagainya termasuklah pengetahuan am seperti kesihatan, ekonomi, dan juga isu-isu semasa.

Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, pendekatan dan usaha digerakkan jawatankuasa masjid secara tidak langsung mampu menjadikan masjid sebagai sebuah institusi yang berimpak besar ke arah rakyat Perlis bermentaliti kelas pertama dalam segala tindakan.

Baginda turut menzahirkan agar masjid hendaklah dipastikan sebagai tempat yang selamat, bajet penyelenggaraan masjid perlu diperuntukkan dengan sewajarnya dan agenda masjid sempurna serta lengkap fasiliti haruslah diletakkan sebagai petunjuk prestasi utama (KPI).

Demikian titah baginda ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Masjid Al- Mursyid, Guring Sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan Ke-81 Tuanku Raja Perlis di Pauh, Arau.

Baginda turut berkenan untuk menyempurnakan simbolik perasmian dan pengurniaan cenderahati kepada dua orang Penerima Anugerah Ahli Kariah Berjasa.

Penerima yang pertama adalah Kassim Hassan yang mewakili Allahyarham ayahnya, Hassan Senapi yang telah mewakafkan tapak untuk membina sebuah masjid yang dinamakan Masjid Kampung Guring dan telah berkhidmat sebagai Imam pada sekitar tahun 1970 sehingga tahun 1980.

Manakala penerima yang kedua ialah Ramli Lebai Zain yang mula berkhidmat sebagai Siak di Masjid Lama Arau dan kemudian menaburkan bakti di Masjid Lama Kampung Guring seterusnya berkhidmat sebagai Bilal di Masjid Kampung Guring dan dilantik Imam 1 pada tahun 2006 sehingga tahun 2017.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE