MARAN, 2 September - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menzahirkan rasa gembira apabila masjid daerah Maran yang baharu, menggunakan nama baginda sebagai nama rasmi.
Baginda bertitah demikian sebelum memasyhurkan perasmian Masjid Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah di Bandar Tun Razak, Jengka.
"Sekali lagi memasyurkan masjid ini dengan nama Masjid Al-Sultan Abdullah Ri'ayatudin Al-Mustafa Billah Shah. Syukur, lapang dada saya kerana ini masjid yang pertama di bawah nama Al-Sultan Abdullah dan dibina di Jengka bukan di Pekan, tapi di Jengka. Ini menunjukkan walaupun jauh sedikit tetapi tetap dekat di hati," titah seri paduka.
Masjid Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah menjadi mercu tanda baharu di Bandar Tun Razak Jengka, dibina di tapak berkeluasan 4.04 hektar.
Projek pembinaan masjid bernilai RM9.5 juta itu, bermula pada 12 Oktober 2015 dan siap sepenuhnya pada Januari 2018.