(Mohammad Imran Miah)
BALIK PULAU, 2 September- Seorang warga Bangladesh dihadapkan ke Mahkamah Majistret Balik Pulau hari ini atas pertuduhan membunuh rakan senegaranya minggu lalu.
Tertuduh, Mohammad Imran Miah, berusia 31 tahun , mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Fadrina Zulkhairi.
Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang tinggal di negara ini sejak enam tahun lalu, didakwa membunuh iaitu menyebabkan kematian seorang kenalan lelaki berusia 32 tahun.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu, di hadapan pintu masuk Kompleks Astaka Bukit Gedung, Bayan Baru pada 21 Ogos lalu antara pukul 9.30 hingga 11.17 malam.
Tertuduh didakwa bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika disabitkan kesalahan.
(Mohammad Imran Miah di Mahkamah Majistret Balik Pulau)
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Atiqah Asharaf Ali.
Tertuduh tidak diwakili peguam ketika pembacaan dibacakan.
Majistret kemudian menetapkan 23 November depan untuk sebutan semula kes.
Dalam kejadian pada 21 Ogos lepas, seorang warga Bangladesh ditemukan maut di perkarangan luar astaka Bukit Gedung dengan kesan tikaman pada bahagian kiri perut.
Polis mengesahkan kematian mangsa tersebut bermotifkan dendam.