KUALA LUMPUR, 25 September- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) diarah untuk menyelaras pelaksanaan Solat Hajat selepas Solat Jumaat esok di semua masjid utama dan surau di Wilayah Persekutuan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar dalam satu kenyataan memaklumkan ia adalah sebagai menyatakan solidariti serta memohon pertolongan kepada Allah SWT agar keselamatan para sukarelawan dan kelancaran misi Global Sumud Flotilla sentiasa dipelihara.
"Seperti yang dimaklumkan, media berkaitan perkembangan terkini yang kita terima amat membimbangkan. Kapal-kapal Misi Global Flotilla dilaporkan menghadapi pelbagai gangguan dan ancaman ketika semakin hampir dengan zon kritikal.
Ini termasuk letupan, kehadiran dron tidak dikenali dan gangguan komunikasi," kata kenyataan itu.
Tambah Datuk Dr. Na'im, beliau menyeru umat Islam di Malaysia agar turut mendoakan misi kemanusiaan itu dipermudahkan, para sukarelawan diberikan perlindungan dan kekuatan, serta menjadi sumber kekuatan kepada rakyat Palestin yang terus berjuang mempertahankan tanah air mereka.
"Semoga Malaysia sentiasa diberi peluang untuk menjadi sebahagian daripada usaha kemanusiaan sejagat dan doa kita asbab kejayaan misi ini," jelas kenyataan itu.