PUTRAJAYA, 25 September 2025- Malaysia kini berada di barisan hadapan dalam meneroka dan meneraju potensi penggunaan teknologi Penyiaran 5G, dalam kalangan negara ASEAN.
Teknologi baharu itu membolehkan siaran terus diakses melalui peranti tanpa bergantung pada Wi-Fi atau simkad telekomunikasi.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, buat masa ini teknologi tersebut masih di peringkat percubaan awal dan hanya segelintir negara telah memanfaatkannya.
“Ini merupakan teknologi baharu yang masih belum dilaksanakan secara meluas. Ia adalah satu mod penyiaran yang boleh disampaikan tanpa menggunakan internet atau Wi-Fi, sebaliknya terus ke peranti pengguna.
Namun, ia masih berada di peringkat percubaan awal dan setakat ini hanya beberapa negara sahaja yang telah mula memanfaatkannya," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Siaran 5G di Kompleks Perbadanan Putrajaya, di sini.
Menurut beliau, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang meneliti aspek teknikal, termasuk gangguan spektrum dan aplikasi praktikal, dengan fokus kepada penyiaran, sistem amaran kecemasan serta siaran di lokasi acara besar.
“Teknologi ini berpotensi digunakan meluas terutama untuk siaran sukan, acara berparade atau konsert berskala besar. Ia mampu menawarkan siaran lebih pantas, jelas, serta membuka ruang aplikasi baharu seperti paparan 3D dan multiple view,” katanya.
Beliau menegaskan, kerajaan akan menunggu hasil persidangan sebelum membuat penilaian lanjut mengenai kesesuaian pelaksanaan penuh di negara ini.