PUTRAJAYA, 25 September- Tujuh pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri digantung pengajian selama seminggu berkuat kuasa serta-merta susulan gurauan melampau.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, Mesyuarat Lembaga Tatatertib Pelajar IKBN yang diadakan semalam turut memutuskan beberapa tindakan disiplin lain.
Ia termasuk hukuman tahan 'outing' sebulan, elaun bulanan diberhentikan, diarahkan melaksanakan kerja amal di kampus serta perlu melapor diri kepada pegawai disiplin.
"Meskipun tiada kecederaan serius dilaporkan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk perlakuan buli dan seumpamanya.
Alasan gurauan tidak boleh dijadikan justifikasi terhadap perlakuan keterlaluan seperti ini. Institusi pendidikan mesti kekal sebagai persekitaran yang selamat, berintegriti dan membina sahsiah belia,” katanya pada sidang media khas di Putrajaya hari ini.
Bagi mencegah kejadian berulang, KBS mengarahkan pemantauan lebih kerap, penyediaan sesi kaunseling berterusan serta program pencegahan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Dalam rakaman video tular baru-baru ini, sekumpulan pelajar IKBN Miri dilihat melakukan aksi gurauan melampau yang menyerupai buli terhadap seorang pelajar lain.