PUTRAJAYA, 8 Ogos- Sebanyak 506 kes gangguan seksual direkodkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) setakat ini berdasarkan aduan yang diterima sejak tahun lepas.
Menurut Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri, jumlah itu tidak termasuk kes-kes gangguan seksual yang dipercayai tidak dilaporkan mangsa terlibat.
Jelasnya terdapat juga laporan dibuat mangsa dalam kalangan lelaki, namun dipercayai masih tidak ramai tampil untuk membuat laporan.
"Ada juga mangsa lelaki, tidak ramai tampil membuat laporan, saya percaya kes melebihi data yang dilaporkan secara rasmi. Jadi sebab tu kita adakan akta ini untuk kita mengadakan advokasi.
"Sekarang kita mulakan dengan advokasi dulu untuk memberi kesedaran supaya masyarakat kita mula mengenali apa yang dimaksudkan dengan antigangguan seksual," katanya.
Beliau bercakap kepada media selepas menyertai Program Langkah KASIH Merdeka KPWKM@Advokasi Antigangguan Seksual di sini.
Menerusi program itu Datuk Seri Nancy bersama-sama 500 peserta menyampaikan Notis Antigangguan Seksual (AGS) kepada wakil-wakil Kementerian, Jabatan dan Agensi di sekitar Wilayah Persekutuan, Putrajaya.
Jelasnya penyerahan notis itu akan turut diperluas kepada agensi korporat dan swasta bagi memastikan usaha terbabit mendapat sokongan dan kerjasama semua pihak terutamanya dalam memberikan kesedaran kepada masyarakat terhadap gangguan seksual.
Mengulas lanjut, Datuk Seri Nancy berkata, KPWKM kini giat memperluaskan program advokasi mengenai gangguan seksual khususnya selepas Rang Undang-Undang (RUU) Antigangguan Seksual diluluskan di Dewan Rakyat bulan lalu.
Pada masa sama, Advokasi Antigangguan Seksual anjuran KPWKM akan terus dilaksanakan di seluruh negara bagi meningkatkan pencegahan dan kesedaran terhadap gangguan seksual serta menyebarluaskan pemakaian garis panduan termasuk menggalakkan Notis Antigangguan Seksual dipamerkan di premis-premis kerajaan dan swasta.
(Datuk Seri Nancy Shukri menyampaikan Notis Antigangguan Seksual AGS
kepada KSU KPLT, Datuk M Noor Azman Taib)
(Aiman Athirah Sabu menyampaikan Notis Antigangguan Seksual AGS
kepada Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching)