fb fb fb fb fb

Program Merdeka Bermotosikal di DUN Sena tarik 200 peserta

(Program Merdeka Bermotosikal sekitar DUN Sena)

KANGAR, 8 Ogos- Bersempena Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang, pelbagai pendekatan dilaksanakan pemimpin setempat bersama komuniti kawasan bagi menyemarakkan semangat patriotik.

Ini termasuklah dikawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sena apabila lebih 200 peserta menyertai Program Merdeka Bermotosikal sekitar DUN Sena dengan melalui 16 kawasan Majlis Pembangunan dan Keselamatan Kampung (MPKK).

Menurut ADUN Sena yang juga Ketua Konvoi, Marzita Mansor, program tersebut memberi kesedaran kepada golongan muda menghayati erti sebenar kemerdekaan selain menghargai pengorbanan para pejuang kemerdekaan serta membentuk perpaduan dalam kalangan generasi muda.

Program turun padang bersama anak muda ini membolehkan generasi muda mendekati komuniti setempat selain bersama-sama menjayakan setiap program bersama komuniti tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik demi menzahirkan kecintaan terhadap negara.

Sepanjang konvoi, peserta akan singgah di 11 hentian bagi menyerahkan Jalur Gemilang kepada bakal Pengerusi MPKK DUN Sena yang akan menerima lantikan,antaranya ialah Kampung Baru, Kampung Salang, Batu 2 Lama, Sempering, Repoh dan Padang Patani.

Beliau memaklumkannya ketika mengetuai Konvoi Merdeka Bermotosikal bersama anak muda sekitar DUN Sena.

Selain program semarak kemerdekaan bermotosikal ini, program lain berkaitan kemerdekaan akan terus dilaksanakan dengan melibatkan pelbagai kaum bagi mewujudkan keharmonian, toleransi dan saling hormat menghormati antara komuniti.


(Program Merdeka Bermotosikal sekitar DUN Sena)

Media Baharu