fb fb fb fb fb

Masalah integriti, polis Perak tidak berkompromi dengan pegawai

IPOH, 12 Julai- Polis Perak bertegas tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggota yang terlibat dengan masalah integriti dan salah guna kuasa.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata ia susulan penahanan enam anggotanya di sebuah pusat hiburan di Manjung, Sabtu lalu.

Jelas beliau, arahan telah diterima daripada pengurusan Bukit Aman untuk membuat pertukaran dalaman terhadap keenam-enam anggota terlibat.

"Saya menyerahkan kepada JIPS Bukit Aman dan JIPS PDRM Perak untuk menjalankan siasatan ke atas mereka ini.

Perkara ini masih dalam siasatan dan kita akan ambil tindakan segera di mana arahan daripada pucuk pimpinan untuk menukarkan mereka daripada posisi asal ke posisi baharu, telah pun dibuat," kata Mohd Yusri kepada pemberita selepas menghadiri Program Derma Darah PDRM Perak sempena Hari Polis ke-216, di sini.


(Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri sempat beramah mesra dengan anggota yang hadir
pada Program Derma Darah PDRM Perak sempena Hari Polis ke-216)

Serbuan pada pukul 11.30 malam, Sabtu lalu dilakukan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman dan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPK).

Pemeriksaan lanjut mendapati seorang daripada anggota terbabit positif alkohol manakala seorang lagi positif dadah jenis ganja.

Seramai 350 penderma menyertai program tersebut yang diadakan bertujuan membantu Hospital Raja Perempuan Bainun (HRPB) Ipoh menambah bekalan darah.

Media Baharu