fb fb fb fb fb

Masalah brek punca LRT laluan Kelana Jaya tergendala, pengguna terjejas boleh tebus kupon

KUALA LUMPUR, 21 Mei- Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya yang tergendala petang semalam berpunca daripada tren bernombor 62 yang terkandas di stesen LRT KL Sentral.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd, Amir Hamdan berkata, tren berkenaan mengalami masalah brek menyebabkannya tidak selamat untuk meneruskan perjalanan.

Jelas beliau, Pusat Operasi Kawalan (OCC) mendapat notifikasi mengenai masalah tersebut pada pukul 4.36 petang dan telah mengeluarkan tren berkenaan daripada perkhidmatan sebagai langkah keselamatan.

"Pegawai operasi telah meminta penumpang untuk mengosongkan tren dan menaiki tren yang lain di Stesen LRT Pasar Seni.

Proses mengeluarkan tren daripada perkhidmatan dibuat dengan memandu secara manual dari Stesen LRT Pasar Seni ke trek poket berhampiran Stesen LRT Universiti," katanya dalam sidang media di sini.

(Komponen brek yang rosak pada tren bernombor 62 menjadi punca LRT laluan Kelana Jaya tergendala)

Tambah beliau, OCC telah memutuskan bekalan kuasa bagi membolehkan jurutera dan juruteknik terlatih menjalankan kerja-kerja pemeriksaan ke atas tren.

Sebagai alternatif kepada pengguna, pihak operasi telah mengaktifkan pelan laluan alternatif menggunakan satu landasan antara Stesen LRT Bangsar ke Stesen LRT Pasar Seni.

"Perkhidmatan bas perantara percuma antara Stesen LRT Bangsar, Stesen LRT KL Sentral dan Stesen LRT Pasar Seni turut disediakan bagi membawa penumpang yang terjejas.

Perkhidmatan telah pulih sepenuhnya pada pukul 6.36 petang apabila tren 62 berjaya dialihkan ke trek poket," katanya lagi.

Sehubungan itu, pihaknya memohon maaf kepada semua penumpang yang telah mengalami kelewatan dan kesulitan untuk menuju destinasi masing-masing.

Tambah beliau, mereka yang terlibat dengan insiden berkenaan boleh mendapatkan kupon perjalanan sehala yang perlu ditebus dalam masa lima hari bermula hari ini.

Pengguna terlibat boleh hadir ke mana-mana kaunter LRT Rapid KL bagi mendapatkan kupon tersebut.

Terdahulu, seramai 22,100 penumpang terjejas dalam insiden yang berlaku pada waktu puncak petang Jumaat.

Ia merupakan kejadian kedua dalam tempoh dua minggu melibatkan Laluan Kelana Jaya.

Media Baharu