fb fb fb fb fb

Masalah bekalan air dijangka selesai enam tahun lagi

(Mohd Rafizi dalam sidang media selepas Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal RMK12
Bersama Kerajaan Negeri Pahang)

KUANTAN, 16 Mei- Masalah bekalan air di negara ini dijangka mengambil masa lebih enam tahun untuk diselesaikan.

Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli berkata pelaburan untuk penambahbaikan perkhidmatan air menelan belanja yang besar.

Kadar penyelesaian berkaitan bekalan air di seluruh negara dijangka mencecah sekurang-kurangnya 50% menjelang tahun 2030.

Menurut beliau, pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Sumber Asli Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) bagi mencari jalan penyelesaian kepada masalah dihadapi syarikat operator air yang dimiliki kerajaan negeri seperti penggantian paip lama.

"Memang sudah pun berjumpa operator air Pahang semua. Insya-Allah dalam masa sesuai selepas kita melalui proses mengawal selia, proses kementerian agensi terbabit, Kementerian Ekonomi dan NRECC akan bentangkan dengan kerajaan Persekutuan pilihan yang ada bersesuaian dengan kemampuan kewangan di peringkat Persekutuan dan negeri," kata Mohd Rafizi dalam sidang media selepas Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal RMK12 Bersama Kerajaan Negeri Pahang, di sini.

Katanya perancangan itu turut mengambil kira seluruh negara, bukan negeri Kelantan dan Sabah sahaja.

Ahad lepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan komitmen mencari jalan menyelesaikan masalah air di Kelantan dan Sabah pada tahun ini juga.

(Mohd Rafizi berkata masalah bekalan air dijangka selesai enam tahun lagi)

Media Baharu