JOHOR BAHRU, 13 Januari - Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH) bakal dinaik taraf sebagai Kolej Universiti Islam Johor tahun ini, dalam usaha kerajaan negeri meningkatkan jaringan hubungan sosial dengan negara-negara Asia Tengah dan Tenggara.
Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad yakin, perubahan status insitusi itu akan dapat melahirkan lebih ramai Da’I, Ulama dan Umara’ di negeri itu.
Menurutnya, kerjasama akademik dan perkongsian maklumat dengan pelbagai institusi dalam dan luar negara amat penting demi memajukan pendidikan Islam di Johor.
"Justeru, dalam tempoh lima tahun Johor akan mempunyai sebuah Pusat Astronomi Baitul Hilal sekali gus menjadi balai cerap termoden di Asia Tenggara yang akan dibina di Pontian.
Pembinaan Pusat Astronomi ini merupakan salah satu lambang keteguhan syiar Islam di Johor," katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen MARSAH kali ke-20 di Pusat Islam Iskandar.
Pada majlis tersebut, seramai 835 graduan berjaya menamatkan pengajian masing-masing bagi sesi kali ini.
Beliau berharap, graduan MARSAH dapat bersaing dalam pasaran kerja menerusi bakat dan kemahiran digital selari dengan kehendak dan keperluan global.
"MARSAH perlu mengorak langkah komprehensif serta diberikan peluang mengambil bahagian sebagai perintis kepada sebuah institusi pendidikan tinggi bagi melahirkan bakat dan kemahiran digital," katanya.