KANGAR, 2 November - MAROI Festival 2024 membuka peluang kepada usahawan bawah bimbingan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perlis memperkenalkan produk mereka ke Thailand.
Festival itu sedang berlangsung di Asean Mall, Pattani Thailand bermula 31 Oktober hingga hari ini.
Menurut Pengarah FAMA Perlis Mohd Anzara Azizan, sebegai pengenalan seramai empat usahawan FAMA menyertai Maroi Festival melibatkan enam jenis produk berasaskan Harumanis.
Produk tersebut ialah Jus Harumanis, Kordial Harumanis, Jem Harumanis, Seri Kaya Harumanis, Sos Manis Harumanis dan Sos Pedas Harumanis.
"Objektif utama penyertaan usahawan ke pameran itu adalah untuk mempromosikan produk hiliran Harumanis dan lain-lain produk keluaran usahawan dari Malaysia khususnya Perlis selaras dengan Tahun Melawat Perlis 2024-2025.
"Selain itu, bagi meningkatkan kesedaran kepada pengguna mengenai produk agro makanan jenama Malaysia keluaran Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) kepada masyarakat di Pattani dan pelancongnya," kata Mohd Anzara.
FAMA Perlis menyasarkan pendapatan hingga RM10,000 dalam penyertaan usahawan kali ini.
Festival MAROI 2024 dianjurkan UNITI Asia Link Sdn Bhd dengan kerjasama Syarikat One Stop Center Co. Ltd dan ASEAN Mall, Pattani serta disokong oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), serta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Bangkok.