fb fb fb fb fb

Maritim Malaysia rampas dadah RM18.5 juta sejak 2023

Foto Maritim Malaysia

PUTRAJAYA, 13 Mei - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) merampas dadah berjumlah lebih RM18.5 juta dari tahun 2023 sehingga Mei tahun ini.

Ketua Pengarahnya, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, ia melibatkan penangkapan 15 individu mengikut siasatan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Berat keseluruhan dadah ialah 95.4kilogram pelbagai jenis dadah seperti Methamphetamine, Ganja, Ecstacy dan Yaba, serta 179 liter cecair kimia prekursor dadah sintetik." katanya menerusi satu kenyataan.

Datuk Mohd Rosli menambah, kejayaan ini hasil tindakan Maritim Malaysia memperhebat kawalan sempadan perairan negara dalam usaha mengekang sindiket jenayah rentas sempadan, khususnya penyeludupan dadah yang semakin licik dan kompleks.

Tegasnya, sejak penubuhan Maritim Malaysia pada 2005, agensi itu telah melaksanakan pelbagai bentuk rondaan dan operasi di lokasi hotspot yang dikenal pasti sebagai laluan aktif sindiket penyeludupan, termasuk di sempadan maritim negara.

TUAN MOHAMAD IKRAM BIN TUAN MUHAMAD