KUALA LUMPUR, 13 Mei- Kadar penggunaan pengangkutan awam di negara merekodkan peratusan yang rendah.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataannya memaklumkan Malaysia mencatatkan sebanyak 25 peratus, berbanding Singapura (67%), Tokyo (73%) dan Seoul (63%).
Tambahnya, selain anjakan sikap, kombinasi sistem yang dipercayai serta kempen kesedaran yang menyeluruh mampu untuk mengubah statistik itu.
"Saya sentiasa percaya bahawa sistem pengangkutan awam yang cekap bukan sahaja dapat melancarkan pergerakan harian rakyat, malah turut menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan sosial, serta mobiliti yang inklusif di bandar mahupun di desa," kata Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid dalam kenyataan.
Terdahulu, beliau menerima kunjungan hormat Presiden Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Mohd Azharuddin Mat Sah, hari ini.
Tegasnya, beliau yakin gerak kerja berterusan Prasarana bersama semua pemegang taruh, mampu membentuk masa depan pengangkutan awam negara yang lebih lestari dan efisien.
"Insya-Allah, kita akan keluar daripada belenggu kesesakan dan kebergantungan kepada kenderaan persendirian," ujarnya.
Mengulas lanjut, negara berdepan realiti kepadatan kenderaan, dengan terdapat 38.7 juta kenderaan berdaftar direkodkan, setakat 2024.
"Ini melebihi jumlah penduduk negara yang hanya 34.1 juta dan angka ini terus meningkat, didorong oleh jumlah jualan kenderaan baharu (TIV) yang mencecah 816,747 unit, tertinggi dalam sejarah negara," jelas beliau lagi.