fb fb fb fb fb

MARA peruntuk RM15 juta untuk program PUMP dalam tempoh dua tahun

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA NERUS, 13 Mei - Sebanyak RM15 juta diperuntuk Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi program Pembangunan Usahawan Automotif MARA-Petronas (PUMP) bermula 2022 hingga tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata ia bakal memanfaatkan seramai 35 usahawan dari 46 cawangan pusat servis kenderaan di bawah jenama PUMP di seluruh Malaysia.

“Keberhasilan ini sangat memberangsangkan dan memberi impak tinggi apabila nilai jualan usahawan di bawah PUMP mencecah RM50 juta dengan penawaran 320 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian PUMP Kuala Nerus di Outlet PUMP RS Auto Technology Sdn Bhd di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Lubricants Marketing (Malaysia) Sdn Bhd Mohd Zameer Zahur Hussain.

PUMP merupakan program khas berstruktur merangkumi latihan keusahawanan, pembiayaan perniagaan, khidmat nasihat dan pemantauan berkala daripada MARA dan Petronas.

Sementara itu, menurut Dr Asyraf, MARA turut menyasarkan untuk menubuhkan 25 lagi cawangan pusat servis kenderaan di bawah jenama PUMP itu di seluruh negara pada tahun ini.

Katanya, bagi Terengganu pula, sebanyak RM2.5 juta telah diperuntukkan bagi membantu tujuh usahawan automotif yang membuka pusat servis kenderaan.

RS Auto Technology Sdn Bhd merupakan antara usahawan pantai timur yang telah menerima kemudahan pembiayaan daripada MARA Terengganu sebanyak RM500,000 bagi kerja-kerja ubah suai bengkel yang lebih kompetitif dan berdaya saing serta lebih sistematik.

ZEHRA BINTI ZAMBRI