PUTRAJAYA, 29 Februari - Majlis Amanah Rakyat (MARA) perlu diperkasa dengan tanggungjawab penyelarasan, pemantauan dan penilaian bawah Majlis Ekonomi Bumiputera.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata usaha itu bagi memastikan semua pengupayaan bumiputera diperingkat kementerian, agensi, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dilaksanakan dengan berkesan.
“Saya suka mengusulkan MARA perlu diperkasakan dengan tanggungjawab penyelarasan, pemantauan dan penilaian di bawah Majlis Ekonomi Bumiputera.
“Serentak itu juga, unit pemerkasaan bumiputera di kementerian, agensi, GLC dan GLIC perlu diaktifkan semula agar penyelarasan, pemantauan dan penilaian dapat dijalankan dengan berkesan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini.
Tambah Ahmad Zahid, melalui transformasi ekonomi bumiputera, kerajaan akan terus memastikan peranan agensi-agensi amanah bumiputera akan lebih kehadapan dalam pengupayaan bumiputera bagi semua sektor ekonomi.
Ini meliputi Permodalan Nasional Berhad (PNB), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB).