fb fb fb fb fb

MARA pantau aset luar negara, elak jadi sasaran dirampas

PADANG TERAP, 14 Julai - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memandang serius tindakan kumpulan yang mendakwa sebagai “waris kesultanan Sulu” yang menjadikan aset milik Malaysia di luar negara sebagai sasaran tuntutan keluarga berkenaan.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, KPLB akan terus memantau isu berkenaan dan memastikan waris kesultanan Sulu tidak menjadikan aset MARA Inc menjadi sasaran mereka.

Ia selepas apa yang terjadi kepada terhadap aset milik PETRONAS di Azerbaijan, baru-baru ini.


(Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid)

Datuk Seri Mahdzir berkata, KPLB mempunyai beberapa aset strategik di luar negara merangkumi bangunan dan hotel yang dimiliki MARA Incorporated yang dianggarkan bernilai ratusan juta ringgit.

"Saya lihat benda ini satu perkara yang agak serius, walaupun kita telah mohon untuk menangguhkan keputusan (penimbang tara) di Sepanyol dan sekarang kita minta dibatalkan di Mahkamah Perancis pula. Jadi diorang ini 'keluarga' ini dia dapat keputusan di Sepanyol itu dan dia pergi merata tempat nak ambil harta Malaysia. Kita KPLB ada bangunan di London, MARA ada bangunan di London dan kita perlu ambil perhatian yang serius," katanya selepas menghadiri Taklimat Khas Prospek Pedu di Kampung Padang Setol, Padang Terap, Kedah.

Mahdzir juga telah mengadakan perbincangan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berhubung isu berkenaan.

Difahamkan, selain aset di London dan Melbourne, MARA turut memiliki bangunan di Amerika Syarikat dan Mesir yang berkemungkinan turut menjadi sasaran waris keluarga kesultanan Sulu.

Mahkamah Rayuan Paris kelmarin membenarkan permohonan Kerajaan Malaysia untuk menggantung penguatkuasaan Final Award yang dikeluarkan Mahkamah Arbitrasi Paris, dengan alasan perundangan kes itu menjejaskan kekebalan kedaulatan Malaysia.

Tindakan itu akan kekal sehingga Mahkamah Paris membuat keputusan muktamad berkenaan permohonan pembatalan Final Award yang dibuat Malaysia.

Media Baharu