fb fb fb fb fb

Kedudukan fiskal negara kukuh, hutang terkawal

PUTRAJAYA, 14 Julai- Kedudukan fiskal negara masih kukuh dan hutang Kerajaan Persekutuan pada tahap terkawal.

Sememangnya, kerajaan amat berdisiplin dan tidak pernah gagal membayar faedah dan hutang yang matang walaupun negara telah melalui beberapa siri krisis kemelesetan ekonomi dan kewangan sebelum ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menerusi kenyataan menjelaskan, aspek penting dalam pengurusan hutang adalah kemampuan keberhutangan dan kemampanan hutang.

Katanya, kerajaan menerapkan pengurusan hutang secara berhemat melalui undang-undang sedia ada meliputi Akta Pinjaman Luar Negeri 1963 yang memperuntukkan pinjaman luar pesisir tidak boleh melebihi RM35 bilion dan pada akhir Jun 2022, hutang ini berjumlah RM29.4 bilion

"Selain itu, 97 peratus daripada jumlah hutang Kerajaan Persekutuan dalam denominasi Ringgit.

"Ini mencerminkan pengurusan hutang berhemat kerana pendedahan kepada risiko tukaran mata wang asing adalah minimum", katanya.


(Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz)

Pihak Dana Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) turut mengakui bahawa kedudukan hutang Malaysia berada pada paras terurus.

Justeru, Kementerian Kewangan menyangkal dakwaan beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab bahawa Malaysia bakal menjadi muflis seperti sebuah negara di Asia Selatan baru-baru ini.

"MOF telah membuat aduan rasmi kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengenai beberapa laporan palsu di media sosial mengenai kedudukan hutang negara yang dilihat mengelirukan rakyat dan berpotensi untuk menjejaskan keyakinan pelabur terhadap Malaysia", katanya.

Media Baharu