TUMPAT, 7 Ogos - Majlis Amanah Rakyat (MARA) mempunyai peruntukan mencukupi untuk terus menghantar pelajar tajaannya menyambung pengajian ke luar negara.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata kerajaan mempunyai dana yang mencukupi untuk pendidikan walaupun berdepan dengan situasi ekonomi yang tidak menentu.
"Kerajaan akan terus menghantar pelajar-pelajar Malaysia tajaan MARA ke luar negara. Tiada tekanan untuk menghentikan kerana setiap tahun apabila hendak buat bajet, sudah letak siap-siap bajet untuk pendidikan jadi tidak perlu susah hati," katanya selepas menyempurnakan Program Bekwoh Keluarga Malaysia Rakyat Tumpat dan Agihan Zakat Felcra Bhd di Pantai Geting, di sini, semalam.
Ketika ditanya bidang tumpuan untuk menghantar pelajar ke luar negara, Mahdzir berkata ia akan dipilih berdasarkan kesesuaian semasa.
"Hari ini orang bercakap pasal teknologi digital, perubahan iklim, tenaga lestari, kecerdasan buatan (AI), ini antara bidang yang diberi tumpuan selain bidang sedia ada seperti kejuruteraan dan aeroangkasa.
"Kita juga memilih universiti terkemuka yang berada dalam 50 ternama dunia, malah pelajar yang dihantar juga memiliki markah terbaik untuk ditempatkan di universiti-universiti terbaik ini," katanya.-BERNAMA