fb fb fb fb fb

DBP terus perkasa tulisan Jawi

PHUKET, 6 Ogos- Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan terus memperkasa pengajaran dan pembelajaran tulisan Jawi bukan sahaja dalam kalangan pelajar di Malaysia malah di peringkat antarabangsa, terutamanya di Thailand.

Justeru itu, dengan kerjasama yang wujud antara Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Majlis Agama Islam 6 Wilayah Andaman, usaha berkenaan akan bermula di Phuket.

Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran berkata perkembangan ini sejajar dengan hasrat mengangkat kembali tulisan Jawi yang pernah mencapai zaman kegemilangan sekitar abad ke-18.

Menerusi usaha ini kedudukan tulisan jawi dapat digunakan secara meluas dalam kalangan negara serumpun terutamanya Thailand.

"Kita perlu bina munsyi juga maksudnya pihak yang boleh menjadi duta kepada kita untuk memperkenalkan tulisan Jawi sekali gus untuk membantu mereka menyegarkan Bahasa Melayu dan kita akan lihat dari kursus ini berapa orang yang boleh kita lantik.

"Dan kita akan beri dokonganlah misalnya bahan-bahan pembelajaran yang akan kita hantar, juga kita akan cari kaedah untuk bawa mereka untuk berkursus secara khusus di Malaysia," katanya.

(Abang Sallehuddin Abg Shokeran)

Beliau menyatakan demikian pada Program Jawi Dewan Bahasa dan Pustaka di Grand Mercure Hotel, di sini.

Bengkel tulisan dan ejaan jawi ini melibatkan 20 orang guru dari beberapa buah sekolah sekitar Wilayah Phuket dibimbing oleh Sabri Azit yang juga Ahli Parlimen Jerai.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut menyerahkan plak lawatan kepada tiga buah sekolah yang terpilih dalam Program Jawi DBP.

Media Baharu