SERDANG, 6 Ogos- MAHA 2022 menjadi pemangkin kepada industri pertanian dalam mengaplikasikan konsep pertanian pintar.
Usaha transformasi sektor agromakanan negara itu selari dengan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0).
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee menegaskan selaras tema 'Sekuriti Makanan Untuk Masa Depan', tumpuan diberi dengan melibatkan golongan muda.
"Pemilihan Tema MAHA 2022 'Sekuriti Makanan Untuk Masa Depan' adalah tepat dan selari dengan komitmen Kerajaan yang terus memberi tumpuan dalam agenda memperkukuh sekuriti makanan negara.
"Objektif utama penganjuran MAHA adalah untuk mempromosikan sektor agromakanan dan industri makanan dengan mengetengahkan kepelbagaian produk, kejayaan-kejayaan perusahaan serta pelbagai inisiatif yang diambil oleh agensi-agensi kerajaan dan swasta," katanya.
(Ronald Kiandee)
Beliau berucap pada majlis perasmiaan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan MAHA 2022 di Maeps, Serdang.
Tambah Ronald, sepanjang tempoh pelaksanaan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12), agenda pemodenan dan pertanian pintar menjadi antara fokus utama memacu sektor agromakanan, di samping pertumbuhan ekonomi negara.
MAHA 2022 yang mendapat penyertaan lebih 1,500 pempamer menyasarkan seramai 1.1 juta pengunjung dengan potensi nilai jualan berjumlah RM250 juta.