fb fb fb fb fb

Maqasid Syariah perlu dijadikan teras setiap dasar demi negara adil, sejahtera dan harmoni

PUTRAJAYA, 22 April - Kerajaan perlu bersungguh-sungguh memainkan peranan dalam menyusun atur segala langkah penggubalan dasar bagi menterjemahkan konsep kesejahteraan agar dapat meresap ke dalam jiwa seluruh Keluarga Malaysia.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sekiranya tumpuan hanya diberikan kepada pembangunan fizikal tanpa menekankan aspek keagamaan, dibimbangi akan wujud kepincangan dalam usaha memperkukuhkan perpaduan negara.

Jelasnya, agama merupakan benteng pertahanan jiwa yang menjadi petunjuk dalam memelihara hubungan antara kaum.

"Islam sendiri mengangkat nilai kebersamaan dalam kepelbagaian rumpun, bangsa dan budaya. Untuk menikmati kesejahteraan dalam sesebuah negara, satu mekanisme ampuh perlu dijadikan landasan.

"Saya mendapati memelihara kemaslahatan merupakan manifestasi kesejahteraan. Ini kerana kemaslahatan itu sendiri merupakan inti pati dalam objektif pensyariatan Islam yang sentiasa disebutkan sebagai pendekatan Maqasid Syariah," katanya ketika merasmikan Program Townhall dan Majlis Pelancaran Buku Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera di sini, hari ini.

(Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merasmikan Program Townhall dan Majlis Pelancaran Buku Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera di Putrajaya)

Katanya lagi, dalam satu persidangan anjuran Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia pada September lalu, beliau telah menyatakan bahawa Maqasid Syariah perlu dijadikan teras setiap dasar dalam membentuk sesebuah negara adil, sejahtera dan harmoni.

Justeru JAKIM wajar dijadikan pusat rujukan oleh semua kementerian dan agensi untuk melaksanakan tadbir urus berasaskan Maqasid Syariah.

Tambah beliau, pendekatan Maqasid Syariah diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan dan dijadikan panduan atau kerangka dalam membangunkan dasar-dasar baharu sambil memperkasa yang sedia ada.

Beliau optimis sekiranya dasar-dasar tersebut dilaksanakan dengan sebaiknya dan kefahaman yang jelas diberikan kepada penjawat awam pada semua peringkat, kesejahteraan yang diimpikan mampu dijiwai oleh seluruh anggota
ahli Keluarga Malaysia.

Beliau turut menggalakkan pelaksanaannya di peringkat negeri oleh Majlis Agama Islam Negeri-negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri-negeri (JAIN).

Media Baharu