fb fb fb fb fb

1 Mei lihat anak bulan Syawal

KUALA LUMPUR, 22 April - Tarikh bagi melihat anak bulan Syawal ialah pada petang Ahad, 1 Mei 2022 Masihi bersamaan 29 Ramadan 1443 Hijriah.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja bahawa cara menetapkan tarikh Hari Raya Puasa adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab, setelah diperkenankan oleh Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja.

“Penyimpan Mohor Besar Raja-raja akan mengisytiharkan pada malam itu juga tarikh Hari Raya Puasa yang ditetapkan melalui Radio dan Televisyen,” menurut kenyataan hari ini.

Justeru, jawatankuasa-jawatankuasa yang berkenaan telah diperkenankan melihat anak bulan Syawal pada petang hari 1 Mei 2022 di 29 lokasi terpilih.


Lokasi dikenal pasti untuk melihat anak bulan Syawal iaitu Pontian Kecil, Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi Tanjung Bidara, Melaka; Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang, Negeri Sembilan; Bukit Melawati, Bukit Jugra, Balai Cerap Selangor Sabak Bernam di Selangor; Pantai Pasir Panjang Manjong di Perak; dan Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh, Pulau Pinang.

Lokasi lain yang turut terpilih ialah Kampung Pulau Sayak Kuala Muda, Pemandangan Indah Pulau Langkawi dan Menara Alor Setar di Kedah; Bukit Besar Kuala Terengganu, Bukit Geliga Kemaman, Pulau Perhentian Besut dan Balai Cerap KUSZA di Terengganu.

Lokasi melihat anak bulan di Kelantan pula ialah Bukit Peraksi Pasir Puteh; Bukit Kampung Tembeling, Kuala Krai, dan Menara Bangunan SEDC, Kota Bharu; manakala di Sarawak ialah Pusat Falak, Miri, Teluk Bandung, Kuching; dan Tanjung Batu, Bintulu.

Di Sabah ialah Balai Cerap Al-Biruni, Putatan dan Menara Universiti Malaysia Sabah; Kampus Antarabangsa Labuan; manakala di Pahang ialah Bukit Tanjong Batu Nenasi, Gunung Berincang dan Bukit Pelindong.

Tiga lagi lokasi ialah Menara Kuala Lumpur, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dan Menara Pandang Masjid Al-Hussain, Kuala Perlis.

Media Baharu