KUALA LUMPUR, 24 September- Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) sekali lagi berdepan ujian apabila misi flotilla kemanusiaannya diganggu dron ketika berada di perairan Greece, Laut Mediterranean, semalam.
Menurut Ketua Pengarah merangkap jurucakap rasmi Sumud Nusantara Flotilla Command Center, Datuk Dr. Sani Araby, sebanyak 15 buah dron rejim dikesan berlegar pada altitud rendah setiap 10 minit, dipercayai bertujuan melakukan intimidasi dan operasi risikan terhadap delegasi.
Beliau berkata, sebanyak 12 letupan udara turut dilaporkan oleh delegasi dan kapal berdekatan yang diyakini sebagai bentuk ugutan terbuka terhadap misi kemanusiaan itu.
"Seramai 34 delegasi Malaysia kekal berada dalam keadaan selamat, tiada kecederaan dilaporkan dan semua berada dalam tahap kesiapsiagaan penuh," katanya dalam kenyataan hari ini.
Flotilla ketika ini masih berada di zon kelabu di perairan Greece, kira-kira 750 batu nautika dari Gaza, dan belum memasuki zon kuning atau merah.
MAPIM memaklumkan, insiden itu merupakan kali keempat gangguan dron berlaku sejak misi pelayaran bermula di Laut Mediterranean dan dipercayai bertujuan menakutkan serta mengugut aktivis kemanusiaan.
Dr. Sani turut menegaskan bahawa misi berkenaan adalah misi kemanusiaan tanpa kekerasan (non-violent) yang bertujuan menghantar bantuan serta mendesak supaya peperangan dan kebuluran dihentikan segera.
"Kami mendesak kepimpinan negara serta masyarakat antarabangsa mengambil tindakan tegas terhadap provokasi ke atas kumpulan aktivis kemanusiaan yang merupakan orang awam ini," tegasnya.