KUALA LUMPUR, 24 September -Kerjasama ASEAN dengan Pertubuhan Harta Intelek Sedunia (WIPO) dilihat mampu membuka lebih banyak peluang kepada para inovator, pencipta serta perusahaan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pelbagai inisiatif bawah kerjasama itu telah membuktikan keupayaan membuka peluang baharu kepada perniagaan, usahawan dan industri kreatif, sekali gus memperkukuh pembangunan ekonomi berasaskan aset tidak ketara.
"Agenda hari ini memberi tumpuan kepada kesinambungan momentum ini. Kita akan membincangkan peluasan aktiviti di bawah kerjasama ASEAN-WIPO, termasuk pembangunan Pelan Tindakan Harta Intelek ASEAN 2020-2030 serta pelancaran Antara Muka Petunjuk Geografi (GI) bagi Daftar IP ASEAN.
"Inisiatif ini bukan sahaja memupuk inovasi di seluruh rantau, malah turut memperkukuh identiti ASEAN dan meningkatkan daya saing global," katanya ketika menyampaikan ucapan pembukaan sesi konsultasi Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) dan Ketua Pengarah Pertubuhan Harta Intelek Dunia (WIPO), di ibu negara.
Sementara itu, Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Kao Kim Hourn menegaskan, ASEAN dan WIPO wajar memberi tumpuan kepada tiga hala tuju utama iaitu memanfaatkan kekayaan kreatif dan intelektual, memperkasa perniagaan serta membangunkan bakat ASEAN.
Menurut beliau, dalam tempoh sedekad lalu, pendaftaran paten di ASEAN meningkat 77 peratus, manakala reka bentuk berdaftar melonjak 80 peratus.
Permohonan cap dagangan turut meningkat lebih 10 peratus dengan pelaburan berkaitan WIPO mencecah hampir AS$25 bilion pada tahun 2023.
Jelas beliau, ASEAN kini menempatkan lebih 50 syarikat unicorn dengan sokongan modal teroka berjumlah lebih AS$110 bilion, selain 6,000 syarikat pemula niaga.