fb fb fb fb fb

Mantai Perdana tawar 10,000 kilogram daging lembu

(FOTO RTM)

SEREMBAN, 20 April-Sebanyak 10,000 kilogram (kg) daging lembu tempatan segar ditawarkan kepada orang ramai sempena program Mantai Perdana yang dianjurkan kerajaan negeri, hari ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata program Mantai Perdana itu akan diadakan di 19 lokasi terpilih di semua daerah di seluruh negeri.

"Ini merupakan satu tradisi yang harus diteruskan. Daging lembu hari ini dijual pada harga RM37 dan ini merupakan satu diskaun yang diberikan oleh pengusaha sendiri, kata Aminuddin.

Pada program sama turut diadakan jualan prihatin Negeri Sembilan yang menawarkan barangan keperluan, seperti telur ayam, sayur-sayuran serta pelbagai barang basah yang dijual pada harga lebih rendah berbanding harga pasaran.

"Kita juga menyediakan ualan prihatin Negeri Sembilan, ayam ada, telur ada, dan barang-barangan keperluan yang sedia kita jual semasa jualan prihatin.

"Ini merupakan satu usaha yang baik bagi mengalakkan pengusaha-pengusaha sama-sama dengan kerajaan negeri memberikan bantuan kepada masyarakat menjelang Aidilfitri" katanya ketika ditemui selepas melancarkan Majlis Perasmian Program Mantai Aidilfitri 2023 di Masjid Dato Klana Petra Lela, Sikamat.

Sementara itu rata-peniaga dan pengunjung menyambut baik inisiatif yang dilancarkan kerajaan negeri dalam membantu mengurangkan beban ekonomi menjelang Aidilfitri.

Bagi peniaga, Saiful Nang, program Mantai Perdana yang dianjurkan tahun ini lebih meriah berbanding tahun-tahun sebelumnya.

"Program Mantai Perdana tahun ini lebih meriah kerana disertai ramai para peniaga yang membawa hasil ternakan dan ladang bagi dibeli oleh masyarakat", katanya.

Sementara itu, pengunjung Maznah Muhammad berkata pelaksanaan Program Mantai Perdana mampu mengurangkan beban bagi menyediakan persiapan sempena hari raya Aidilfitri.


(Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun)

Media Baharu