fb fb fb fb fb

Mansuh hukuman mati, usul dibawa ke Parlimen pada Mac

KAJANG, 22 Februari- Rang Undang-Undang (RUU)berkaitan pemansuhan hukuman mati mandatori akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada bulan Mac ini.

Timbalan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Ramkarpal Singh berkata pihaknya menjangkakan RUU tersebut akan dibawa ke Dewan Negara untuk diluluskan pada April sebelum diwartakan pada Mei.

Beliau juga berkata seramai 1,320 banduan yang dijatuhkan hukuman mati atau penjara sepanjang hayat akan terkesan apabila RUU tersebut diwartakan.


(Timbalan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi
Ramkarpal Singh)

"Mahkamah akan mendengar bukan sahaja daripada tertuduh atau mereka yang telah disabitkan tetapi mangsa dan keluarga akan berpeluang menyampaikan faktor yang akan ditimbulkan untuk perhatian mahkamah melalui Peguam Negara atau Timbalan Pendakwa Raya.

"Kita perlu mengkaji secara lebih mendalam lagi dari segi keberatan jenayah yang dilakukan cadangan-cadangan akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat selepas mendengar pendapat semua pemegang taruh dan semua mereka yang mempunyai kepentingan, dari penjara, serta pihak organisasi masyarakat sivil (CSO) atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO),"  katanya selepas melawat Penjara Kajang di sini hari ini.

Selepas undang-undang tersebut diwartakan, banduan terlibat boleh membuat permohonan di Mahkamah Persekutuan dengan bantuan peguam dan Jabatan Penjara.

Media Baharu