fb fb fb fb fb

Menu Rahmah untuk semua - Salahuddin

KUALA LUMPUR, 23 Februari- Pelaksanaan Menu Rahmah yang diperkenalkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dapat membantu setiap rakyat Malaysia tanpa mengira kumpulan pendapatan mahupun taraf kehidupan rakyat.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, Menu Rahmah yang beharga serendah RM5 itu adalah usaha yang diperkenalkan di bawah Payung Rahmah agar dapat meringankan beban rakyat.

"Walaupun di bawah Payung Rahmah yang menawarkan harga murah serendah RM5, pendekatan itu tidak merugikan peniaga, sebaliknya memberi manfaat dan rahmat berganda.

"Alhamdulillah dengan Menu Rahmah RM5 sebenarnya adalah sesuatu yang besar maknanya kepada rakyat. Menu Rahmah itu adalah satu hidangan premium," katanya.

Mengenai pemilihan nama Menu Rahmah, Salahuddin menjelaskan, pihaknya tidak mahu menggunakan istilah 'Menu B40' kerana mahu hidangan itu dinikmati semua golongan.

Selain itu, katanya, ia juga untuk menjaga 'air muka' golongan B40 bahawa hidangan di bawah inisiatif itu tidak dianggap 'menu orang miskin'.

(Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Salahuddin Ayub)

Mengulas kesan berganda pendekatan seperti Jualan Rahmah, Salahuddin berkata, walaupun ada persepsi bahawa barang pada harga RM5 tidak berkualiti, ia tidak betul, sebaliknya ia mencetuskan 'gelombang' orang ramai berkunjung ke premis berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat.

Media Baharu