PUTRAJAYA, 22 Februari - Sebagai badan peneraju penyelidikan dan teknologi yang ditubuhkan sejak hampir 50 tahun, SIRIM Bhd berharap bidang digital, sekuriti makanan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) diberi fokus menjelang Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan pada Jumaat ini.
Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad, berkata kepakaran SIRIM dalam bidang penyelidikan perindustrian bioteknologi dan biomedikal serta pembuatan pintar dan tenaga boleh diperbaharui di bawah salah satu enam tonggak Malaysia Madani iaitu Daya Cipta.
Dr Ahmad juga berharap agar Kementerian Kewangan (MOF) memberi tumpuan khusus kepada teknologi masa hadapan.
"Ini termasuk teknologi kecerdasan buatan atau lebih dikenali sebagai artificial intelligence (AI), Big Data dan Blockchain yang akan diterajui oleh SIRIM," katanya kepada RTM.
Katanya, SIRIM juga menyokong usaha dasar Malaysia Madani melalui dasar Kemampanan sejajar dengan Prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) seperti teknologi bagi mengurangkan kesan terhadap alam sekitar.
"Melalui pembangunan Eco-Industrial Park, teknologi ini dapat mengurangkan sisa buangan industri selain itu teknologi berasaskan solar thermal juga dapat mengurangkan kesan gas rumah hijau kepada alam sekitar," tambahnya.
(Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad)
Menurutnya lagi, model pertanian pintar pula dilihat sebagai usaha untuk menyelesaikan isu ketidakjaminan makanan.
"Ini secara tidak langusng dapat meningkatkan lagi pengetahuan petani dalam menggunakan teknik pertanian baharu," katanya.
Dalam pada itu, SIRIM juga akan terus menyokong pembangunan taraf hidup kumpulan B40 melalui program pemerkasaan pembungkusan produk yang mengikuti kursus kemahiran teknologi dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) seperti yang dilaksanakan pada tahun-tahun yang lalu.