fb fb fb fb fb

Mangsa masih terngiang jeritan rakan-rakan

Aleeya Maisarah Azzizani, antara penuntut UPSI yang terselamat nahas bas di Gerik

BESUT, 10 Jun - “Saya masih terngiang-ngiang jeritan rakan-rakan… saya tak dapat selamatkan mereka dan dihantui rasa bersalah sangat,” luah Aleeya Maisarah Azzizani.

Aleeya Maisarah, 21, antara penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terselamat dalam nahas ngeri bas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik, awal pagi semalam yang meragut 15 nyawa rakannya.

Penuntut semester empat Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI itu, kini menjalani rawatan lanjut di Hospital Besut, berikutan kemungkinan mengalami gegaran otak.

 

Aleeya Maisarah berkongsi pengalaman dialami dan keadaan terkininya dengan RTM

"Sekarang ini memang saya belum boleh kembali ke UPSI kerana kaki masih sakit dan perlukan rehat serta diberi cuti sakit selama tiga hari.

"Namun pihak UPSI benarkan saya bercuti selama seminggu untuk saya berehat di rumah," katanya.

Beliau ditemui di kediaman keluarganya di Jerteh, hari ini.

 

Wakil dari UPSI turut menziarah Aleeya Maisarah

Mengulas keadaan emosinya, Aleeya Maisarah mengakui masih trauma untuk menaiki bas dan melalui laluan ke Gerik, Perak.

Anak kedua daripada lima beradik itu turut meluahkan rasa terharu atas keprihatinan masyarakat yang tampil membantu sejak awal kejadian.

"Selepas ini mungkin saya tidak lagi naik bas kerana takut sangat dan trauma terutamanya melalui jalan di Gerik.

"Syukur ramai yang beri sumbangan dan mungkin duit itu saya boleh guna untuk suruh emak dan ayah hantar saya ke sana (UPSI)" katanya.

 

Keluarga sepakat untuk hantar sendiri Aleeya Maisarah ke UPSI

Sementara itu, bapanya, Azizzani Ab Ghani, 53, berkata, pada hari kejadian Aleeya Maisarah sendiri menghubunginya kira-kira pukul 4 pagi dan maklumkan dia selamat.

“Kami sekeluarga sepakat untuk menghantarnya selepas ini untuk mengelak daripada dia menaiki bas buat sementara waktu sehingga semangat dia pulih sepenuhnya," katanya.

MUHAMMAD APENDY BIN ISSAHAK