fb fb fb fb fb

Kerajaan sedia teliti cadangan persatuan berkaitan had LPG bersubsidi

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali / Foto FB Armizan Mohd Ali

PUTRAJAYA, 10 Jun – Semua persatuan peniaga makanan dan minuman berskala mikro serta kecil disarankan supaya mendapatkan pandangan ahli masing-masing dan mengemukakan memorandum cadangan kepada Jawatankuasa Teknikal Semakan Pindaan berkaitan had penggunaan tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata jawatankuasa tersebut yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar akan meneliti setiap cadangan dan syor yang dikemukakan.

“Hari ini saya hadir dalam Sesi Libat Urus Cadangan Pindaan kepada Peruntukan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 (PPKB).

"Fokus utama pertemuan ini adalah bagi meminda peruntukan berkaitan sekatan had penggunaan LPG bersubsidi dalam sektor perdagangan dan perniagaan, termasuk mengambil kira keperluan peniaga makanan dan minuman berskala mikro serta kecil,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Menurut beliau, pelbagai pandangan dan syor telah dikemukakan dalam sesi tersebut.

Selaras dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 5 Jun 2025, kerajaan bersetuju dengan syor KPDN untuk meminda peruntukan PPKB yang telah diwartakan, namun beberapa perincian perlu ditetapkan bagi memastikan kejelasan dari segi undang-undang.

“Antara perkara utama yang perlu dipertimbangkan ialah parameter pindaan berkaitan pendefinisian kategori perniagaan jualan makanan dan minuman yang terlibat,” ujarnya.

Sesi libat urus itu turut disertai oleh 10 persatuan berkaitan serta Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Perdagangan Dalam Negeri, Keusahawanan, Kos Sara Hidup dan Pertanian merangkap Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin.

Turut diberi perhatian dalam sesi tersebut ialah isu status pemilikan perniagaan, jumlah keperluan LPG bersubsidi, mekanisme kawalan dan pelaporan, keberkesanan pemantauan dan penguatkuasaan, serta strategi menyeluruh bagi mengekang ketirisan subsidi.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN