BESUT, 10 Jun - Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) akan melaksanakan misi pengumpulan barangan milik pelajarnya yang terlibat dalam nahas bas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik awal pagi semalam.
Misi itu bagi menghantar semula barangan pelajar, termasuk motosikal dan barangan peribadi, kepada waris mangsa yang terkorban.

Pengerusi Majlis Pengetua Kolej Kediaman UPSI, Prof Madya Dr Mohd Nizam Nasrifan berkata, pihaknya sedang mengenalpasti lokasi blok kediaman mangsa dan akan mendapatkan bantuan rakan sebilik mereka untuk proses pengumpulan barangan.
“Pihak kolej kediaman akan mengenalpasti mangsa-mangsa terlibat tinggal di bilik dan blok mana. Kita akan mohon bantuan rakan serumah atau sebilik mereka untuk mengenalpasti barangan mangsa dan kumpulkan serta lakukan misi penghantaran kepada waris," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menziarahi salah seorang mangsa terselamat, Aleeya Maisarah Azzizani, di sini hari ini.
Dalam pada itu Dr Mohd Nizam berkata, UPSI turut menyediakan khidmat kaunseling kepada ibu bapa dan keluarga mangsa melalui Unit Kaunseling di bawah Jabatan HEP dan Alumni, yang dikendalikan kaunselor terlatih.

Menurutnya, sesi kaunseling itu akan diteruskan kepada pelajar yang terselamat bagi membantu mereka pulih daripada trauma, mengembalikan kestabilan emosi dan dapat meneruskan pengajian mereka seperti biasa.
“Unit kaunseling UPSI telah turun padang untuk memberi khidmat kaunseling kepada ibu bapa dan keluarga mangsa yang pastinya bersedih menerima berita ini," katanya.
Beliau berkata, ketika ini masih ada beberapa pelajar masih dirawat di hospital dan unit kaunseling akan digerakkan bagi menyantuninya selepas mereka dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.