BANDARAYA MELAKA, 10 Jun- Sebanyak 913 projek membabitkan peruntukan RM157.87 juta permohonan diterima Kerajaan Negeri pada Sesi Libat Urus Bajet Pembangunan Negeri Melaka 2026.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, bagaimanapun setiap permohonan akan diperhalusi dengan teliti bagi memastikan tiada golongan terpinggir.
Pihaknya memfokuskan kepada lapan bidang utama seperti kesejahteraan rakyat, kelestarian pertanian, pelaburan, digitalisasi, pelancongan, pendidikan, infrastruktur dan pengurusan air.
"Jadi saya harap perkembangan ini akan memberikan satu keyakinan kepada rakyat negeri Melaka dalam kita menguruskan mereka dalam pelbagai sudut, Ini bajet negeri bukan masuk bajet persekutuan. Fokus tahun depan adalah tumpuan kepada keperluan rakyat", katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Sesi Libat Urus Bajet Pembangunan Negeri Melaka 2026 Bersama Exco dan ADUN Melaka di Bandaraya Melaka.
Dalam pada itu, sejumlah RM19.52 juta telah dibelanjakan sehingga 31 Mei lalu.
Ia termasuk 86 projek telah siap, 100 projek dalam pelaksanaan dan 55 projek masih belum bermula.