fb fb fb fb fb

Pemandu bas ekspres positif dadah dalam operasi khas JPJ di Plaza Tol Gombak

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Hamidi Adam memeriksa kenderaan perdagangan pada Operasi Khas Hari Raya Aidiladha di Stesen Penguatkuasa Gombak / Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 10 Jun – Seorang pemandu bas ekspres didapati positif dadah jenis morfin dalam Operasi Khas Hari Raya Aidiladha (HRAA) 2025 yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) di Plaza Tol Gombak, hari ini.

Pengarah JPJ WPKL, Hamidi Adam berkata hasil saringan air kencing yang dijalankan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mendapati pemandu lelaki berusia dalam lingkungan 30-an itu positif dadah.

“Daripada 44 pemandu yang diperiksa oleh AADK, seorang didapati positif. Beliau merupakan pemandu bas ekspres, namun bas tersebut telah meneruskan perjalanan ke Terengganu dengan pemandu kedua,” katanya pada sidang media selepas operasi tamat hari ini.

Operasi khas tersebut yang bermula sejak 4 Jun lalu berakhir hari ini dan dilaksanakan sebagai sebahagian daripada langkah memastikan keselamatan pengguna jalan raya sempena musim perayaan.

Mengulas lanjut, Hamidi memaklumkan sebanyak 2,437 notis telah dikeluarkan sepanjang tempoh operasi atas pelbagai kesalahan yang melibatkan pemandu serta kenderaan yang gagal mematuhi peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan peraturan-peraturan berkaitan.

“Sebanyak 33,988 kenderaan telah diperiksa sepanjang enam hari operasi dijalankan. Daripada jumlah itu, 26 kenderaan telah disita terdiri daripada 23 motosikal, dua kereta dan sebuah lori kecil,” katanya.

Selain itu, berdasarkan notis JPJ(P)22, seramai 2,559 pemandu dikesan melakukan pelbagai kesalahan termasuk 657 kes melibatkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans.

Bagi operasi yang dijalankan hari ini dari pukul 1 tengah hari hingga 7 malam, sebanyak 620 kenderaan diperiksa, dan 60 daripadanya dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN