fb fb fb fb fb

Malaysia bawa dua inisiatif strategik ke Persidangan Pendidikan Tinggi ASEAN

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir / Foto RTM

PUTRAJAYA, 10 Jun – Malaysia akan mengetengahkan dua inisiatif strategik pada Persidangan Meja Bulat Menteri-Menteri Pendidikan Tinggi ASEAN yang bakal berlangsung di Langkawi dari 17 hingga 19 Jun ini.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata dua inisiatif tersebut ialah Deklarasi Pemimpin ASEAN Mengenai Pendidikan Tinggi: Ke Arah ASEAN yang Inklusif, Mampan dan Makmur, serta Program Biasiswa Intra-ASEAN – Mobiliti dan Biasiswa Global ASEAN (ASEAN-GEMS).

Menurut beliau, deklarasi tersebut bukan sekadar kenyataan bersama, sebaliknya merangkumi pelan tindakan jangka panjang yang komprehensif bagi memastikan sistem pendidikan tinggi serantau menjadi lebih inklusif, mampan dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

"Dari segi mobiliti pelajar, kami memberi penekanan kepada usaha memperluaskan ruang pergerakan mahasiswa dan mahasiswi, khususnya dalam kalangan negara-negara ASEAN. Ia bertujuan memberikan mereka pengalaman yang bernilai dalam bidang diplomasi, terutamanya diplomasi halus (soft diplomacy), melalui interaksi rentas sempadan yang lebih terbuka dan bermakna," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi taklimat bersama Ketua-Ketua Pengarang media di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr. Zambry menenkankan ASEAN-GEMS pula berperanan sebagai pemacu kepada mobiliti akademik serantau yang lebih dinamik yang dijangka membuka lebih banyak peluang kepada pelajar dan pensyarah untuk bergerak merentas sempadan, selain menyediakan akses kepada pelbagai biasiswa di peringkat serantau dan global

Beliau memaklumkan kementerian merancang untuk menggerakkan tenaga pakar dalam pelbagai bidang secara lebih menyeluruh bagi membolehkan perkongsian kepakaran dimanfaatkan oleh negara-negara ASEAN.

Dalam pada itu, Zambry berkata Malaysia juga sedang merangka satu inisiatif bagi menjadi pusat kecemerlangan pendidikan tinggi serantau dalam bidang strategik, khususnya melibatkan teknologi baharu dan Kecerdasan Buatan (AI).

Persidangan Meja Bulat tersebut akan menghimpunkan menteri-menteri pendidikan dan pendidikan tinggi ASEAN serta pegawai kanan dari negara-negara anggota bagi membincangkan hala tuju pendidikan tinggi rantau ini.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN