fb fb fb fb fb

Parlimen Belia Malaysia, platform lahirkan pemimpin masa depan

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul/ BERNAMA

KUANTAN, 10 Jun- Parlimen Belia Malaysia diwujudkan sebagai platform melahirkan anak-anak muda yang lebih berketerampilan untuk menjadi ahli parlimen pada masa depan, dan seterusnya menjadi pemimpin negara.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul, berkata Parlimen Belia Malaysia diperluas fungsinya bagi melahirkan barisan kepimpinan negara pada masa depan, berbanding sebelum ini hanya untuk melahirkan ahli parlimen belia.

Beliau berkata Parlimen Belia harus didedahkan dengan pelbagai sistem yang diamalkan dalam negara mahupun di negara luar.

"Sistem yang kita ada sekarang ialah first past the post dan berasaskan kawasan. Mungkin juga pada masa depan, mereka (belia) sendiri akan membuat penilaian dan memilih untuk mempromosikan sistem berbeza,” katanya.

"Maknanya kita harus garap dari muda seperti penuntut universiti ini dan dari muda ini kita garap mereka menjadi pemimpin. Jadi kalau mereka telah menjadi pemimpin, sudah tentu mereka berfikir berbeza dari ahli politik, sebab ahli politik ini lebih kepada pilihan raya, tetapi pemimpin ini lebih kematangan membina negara, ia amat berbeza", katanya.

Dalam pada itu, beliau menyarankan pempengaruh dan pencipta kandungan agar menggunakan pengaruh mereka dengan mengajak masyarakat ke arah pembangunan manusia.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Bicara Kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) di Gambang, Pahang.

Program tersebut memberi ruang kepada mahasiswa untuk mendapatkan pendedahan secara langsung bersama tokoh negara dalam bidang kepimpinan dan pentadbiran.

ROSLINA BINTI DIN