fb fb fb fb fb

Kewangan Islam perlu dinilai semula, selari prinsip maqasid syariah - PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim / Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 10 Jun – Struktur asas kewangan dan perbankan Islam perlu dinilai semula agar kekal relevan dan selari dengan prinsip maqasid syariah.

Tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sistem kewangan Islam tidak seharusnya hanya berfokus kepada pembebasan daripada unsur riba semata-mata, sebaliknya harus berpaksikan prinsip keadilan, kemampanan dan nilai kemanusiaan.

“Sudah sampai masanya beberapa premis asas dalam kewangan dan perbankan Islam dinilai semula. Ia tidak hanya terikat kepada aspek bebas dari riba, tetapi harus terletak dalam kerangka maqasid syariah yang merangkumi kemampanan, keadilan dan kemanusiaan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan perasmian Pusat Kecemerlangan Kajian dan Inovasi Ekonomi Islam (i-RISE) di sini, hari ini.

Dalam ucapannya, Datuk Seri Anwar turut menekankan tadbir urus yang telus dan dasar ekonomi yang jelas merupakan tonggak utama untuk memastikan keberkesanan sistem kewangan Islam.

“Tanpa dasar ekonomi yang kukuh dan telus, kita tidak akan mampu menarik pelaburan dalam dan luar negara secara mampan. Teras utama dalam gagasan Madani adalah kemampanan dan ini menuntut ketelusan dalam dasar dan pentadbiran,” jelas beliau.

Tambahnya, ketelusan juga penting dalam membanteras ketirisan dan rasuah, yang dilihat sebagai antara penghalang utama kepada kemajuan, terutamanya di negara-negara Islam yang secara realitinya tidak miskin dari segi sumber.

Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar turut menggesa semua pihak, termasuk institusi kewangan, penggubal dasar dan pemain industri, untuk turut serta menyemak kembali hala tuju kewangan Islam demi membina masa depan yang lebih adil, telus dan mampan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN