fb fb fb fb fb

KPM nilai kerosakan aset, salur bantuan segera kepada SM Sains Alam Shah

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek bergambar bersama penerima sumbangan pada Majlis Sambutan Pelajar Program Pendidikan Tingkatan Enam Kampus Universiti di Kampus Kejuruteraan USM/ BERNAMA

NIBONG TEBAL, 10 Jun- Kementerian Pendidikan (KPM) akan melaksanakan penilaian serta-merta terhadap tahap kerosakan susulan kebakaran melibatkan bangunan pentadbiran Sekolah Menengah (SM) Sains Alam Shah, Cheras dalam kejadian pagi tadi.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata tindakan terbabit penting bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran tidak terjejas, selain bantuan segera akan disalurkan secepat mungkin kepada pihak sekolah.

"Takziah kepada kejadian ini dan kita telah pun mengambil tindakan segera. Pertamanya, memastikan keselamatan semua pihak khususnya tiada kemalangan jiwa yang terlibat. Kedua memastikan kebajikan para guru dan anak-anak murid kita. Maknanya ditempatkan di tempat yang selamat, memastikan kawasan itu kondusif untuk memulakan pembelajaran. Ketiga, saya sudah mengarahkan Ketua Setiausaha (KSU) untuk segera menilai membuat penilaian kerosakan yang berlaku akibat kebakaran tersebut.

"Jadi kita akan segerakan, maknanya bantuan dan juga memastikan sekolah ini dapat berjalan dengan baik dan kondusif untuk anak-anak kita belajar", katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika hadir ke Majlis Sambutan Pelajar Program Pendidikan Tingkatan Enam Kampus Universiti Sains Malaysia (USM) di Kampus Kejuruteraan USM, Nibong Tebal.

Pagi tadi, insiden terbabit telah mengakibatkan tingkat tiga bangunan pentadbiran sekolah berkenaan musnah 100 peratus.

Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut.

ROSLINA BINTI DIN