fb fb fb fb fb

Inisiatif lonjak usahawan wanita ke pasaran antarabangsa

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merasmikan Forum Women in Export 2025.

KUALA LUMPUR, 10 Jun – Usaha memperkukuh penglibatan usahawan wanita dalam pasaran global diteruskan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, selain memanfaatkan potensi Pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam kalangan usahawan wanita, empat inisiatif utama perlu diberi tumpuan.

Beliau mencadangkan inisiatif penubuhan Inkubator Eksport Wanita, penyelarasan Skim Dana Pemerkasaan Wanita Global, penganjuran Anugerah Wira Ekonomi Wanita, serta pelaksanaan Program Perdagangan Hijau khusus untuk wanita.

 

Empat inisiatif utama dicadang bagi memperkukuh penglibatan usahawan wanita dalam pasaran global

"Saya kemukakan cadangan ini kepada MITI (Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri) dan saya yakin pihak kementerian boleh membawa perkara ini ke peringkat lebih tinggi.

"Keempat-empat inisiatif ini menyediakan asas yang kukuh dari segi pembiayaan kepada usahawan-usahawan wanita,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum 'Women in Export 2025', hari ini.

Tambah beliau, MITI perlu diberi ruang untuk membangunkan usahawan wanita, khususnya dalam aspek pengeluaran produk untuk pasaran eksport.

 

MITI mampu bawa inisiatif ke peringkat lebih tinggi

Datuk Seri Ahmad Zahid berkata, penubuhan Inkubator Eksport Wanita akan menyediakan latihan, bimbingan eksport, dan klinik digital khusus bagi wanita luar bandar dan golongan B40.

Menurutnya, penyelarasan Skim Dana Pemerkasaan Wanita Global pula bagi membantu usahawan wanita berpotensi tinggi yang berdepan kekangan modal untuk bersaing di pentas antarabangsa.

Beliau berkata, penganjuran Anugerah Wira Ekonomi Wanita adalah untuk menghargai tokoh wanita yang mencipta impak besar dalam sektor perdagangan, teknologi, industri halal dan eksport serantau.

Manakala, Program Perdagangan Hijau untuk Wanita dicadangkan sebagai inisiatif yang melatih dan menyokong wanita dalam pengeluaran produk mesra alam yang mematuhi prinsip ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus).

Ketika ini, sebanyak 55 peratus atau 1,054 syarikat milik wanita telah berjaya meluaskan capaian eksport ke pasaran ASEAN, meliputi Singapura, Brunei, Indonesia dan Thailand, bagi tempoh 2021 hingga April 2025.

MUHAMMAD APENDY BIN ISSAHAK