KUALA LUMPUR, 10 Jun – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) meneruskan komitmen sosialnya menerusi Program Qurban Berkat Kumpulan FELDA sempena sambutan Hari Raya Aidiladha 2025, dalam usaha memperkukuh nilai kebersamaan, ihsan dan tanggungjawab sosial.
Sebanyak 19 ekor lembu telah dikorbankan, yang diperoleh daripada Pusat Integrasi Ternakan Chuping (PITC) dan diagihkan kepada golongan kurang berkemampuan termasuk dua institusi golongan asnaf iaitu Surau Jumaat Al-Husna PPR Seri Semarak dan Surau Ikhlasiah Datuk Keramat.
FELDA dalam satu kenyataan berkata, inisiatif tahunan yang melibatkan kerjasama antara FELDA, anak-anak syarikat serta Koperasi FELDA itu menjadi simbol solidariti dan semangat korporat menyantuni masyarakat, selaras dengan matlamat tanggungjawab sosial korporat (CSR) secara menyeluruh dan bersepadu.
“Program Qurban Berkat ini bukan sekadar ibadah penyembelihan, tetapi juga manifestasi keikhlasan dan komitmen Kumpulan FELDA dalam menyemai nilai ihsan serta memperjuangkan kesejahteraan masyarakat setempat,” menurut kenyataan itu.
Program itu juga bertujuan mengukuhkan ukhuwah, menyemai semangat berkorban dalam kalangan warga kerja FELDA dan anak syarikat, serta menggalakkan budaya penyayang terhadap komuniti, khususnya mereka yang memerlukan.
FELDA menegaskan pelaksanaan program tersebut selari dengan peranannya sebagai pemangkin pembangunan masyarakat luar bandar, sekali gus memperkukuh hubungan erat antara institusi dan rakyat.