fb fb fb fb fb

Nahas UPSI: JKM tawar khidmat kaunseling kepada mangsa, waris

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad/ Foto FB Datuk Seri Dr Noraini Ahmad

IPOH, 10 Jun- Dua penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh masih dalam keadaan trauma, susulan kejadian nahas ngeri bas di Kilometer 53 Jalan Gerik-Jeli, semalam.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, pihaknya menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menawarkan perkhidmatan kaunseling kepada mangsa serta waris bagi membantu menguruskan tekanan emosi akibat insiden tersebut.

Setakat ini keadaan mangsa dilaporkan stabil dan kini ditempatkan di wad biasa.

"Memanglah dalam keadaan sekiranya ianya terjadi pada sesiapa pun, keadaan ataupun perasaan trauma itu sudah semestinya ada... apa lagi kenderaan itu terbalik, itu memang kita nampak. Memang dia dalam keadaan yang trauma dan kami perkhidmatan kaunseling untuk menyediakan kaunselor kepada dia", katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat mangsa kejadian kemalangan tersebut di HRPB, Ipoh.

Beliau turut menyerahkan sumbangan kepada kedua-dua pelajar terbabit menerusi JKM dan Yayasan Kebajikan Negara (YKN).

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.00 pagi itu, 15 penuntut UPSI meninggal dunia, manakala 27 lagi cedera dan menerima rawatan di Hospital Gerik serta Hospital Baling, Kedah.

Turut cedera ialah pemandu bas berusia 40 tahun dan kelindannya yang berusia 54 tahun.

Nahas dipercayai berlaku apabila bas terbabit hilang kawalan dan melanggar bahagian belakang sebuah kenderaan lain, sebelum terbalik dan merempuh pembahagi jalan.

ROSLINA BINTI DIN