fb fb fb fb fb

Korban Kasih KPKT: 1,000 asnaf terima daging korban di Sepang

Foto FB JBPM

CYBERJAYA, 10 Jun – Seramai 1,000 asnaf di daerah Sepang menerima agihan daging korban menerusi Program Korban Kasih Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) Bersama Warga Bomba Tahun 2025 yang berlangsung di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cyberjaya, di sini hari ini.

Sebanyak 36 ekor lembu telah dikorbankan sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini, hasil penyertaan warga KPKT, jabatan serta agensi di bawahnya, selain sumbangan daripada pelbagai pihak.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Ts. Nor Hisham Mohammad menyempurnakan agihan daging korban kepada para penerima.

Program yang bermula seawal pukul 8 pagi itu melibatkan sekitar 360 petugas daripada kalangan kakitangan KPKT serta agensi di bawahnya.

Selain mengukuhkan silaturrahim dan semangat kerjasama, program ini turut memberikan ruang kepada peserta untuk menghayati erti sebenar pengorbanan, khususnya dalam konteks tugas anggota bomba yang setiap hari mempertaruhkan nyawa demi menyelamatkan orang awam serta melindungi harta benda negara.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN